Thursday, June 20, 2013

Kenapa dulu ilmu mulia kini ia menjadi tidak berharga

Dulu hanya yang terpilih boleh menguasai ilmu menjadikan ia mulia

Kata Imam Al-Auzaie Rahimahullah,
كان هذا العلم كريما ، يتلاقاه الرجال بينهم ، فلما دخل في الكتب ،
دخل فيه غير أهله
'Sesungguhnya dulu ilmu ini ialah suatu yang mulia, para ulama saling bertalaqi sesama mereka. Namun apabila ilmu sudah masuk ke dalam kitab (yakni ditulis jadi kitab) maka orang yang bukan ahlinya pun dapat masuk ke dalamnya.' [Siyar A'lam al-Nubala]

Maksud Imam al-Auzaie Rahimahullah ialah dulu hanya mereka yang benar-benar beragama (siqah), rajin, dan diberi keizinan sahaja dapat mengaji ilmu dan bertalaqi dengan para ulama' tetapi apabila ilmu sudah dibukukan maka semua orang pun boleh baca hatta orang munafiq dan zindiq.

Dahulu, para masyeikh (guru-guru) belum tentu menerima semua anak murid, ada yang letakkan syarat kena hafal Quran dulu, kena berjanggut, kena rajin ibadah dan sebagainya. Contohnya Imam Al-A'mash, seorang tabien dan merupakan murid kepada Anas bin Malik RA diriwayatkan pernah meletakkan seekor anjing yang garang dihadapan rumahnya agar murid yang benar-benar berani sahaja dapat melepasinya.

Begitu juga Imam Sufyan Al-Tsauri rahimahullah yang berkata :
كان الرجل إذا أراد أن يكتب الحديث تأدب وتعبد قبل ذلك بعشرين سنة
‘Seseorang yang hendak menulis hadith (mempelajari hadith) maka dia perlu mempelajari adab dan beribadah selama dua puluh tahun terlebih dahulu.' [Hilyah al-Awliya]

Sekarang, sesiapa sahaja boleh membaca pelbagai ilmu tentang hadith daripada buku walaupun dia seorang yang fasiq dan kaki maksiat atau budak mentah !

---------------

* Syeikhul Islam Abu Rahman bin Amru al-Auzaie, merupakan murid kepada Atho bin Abi Rabah. Guru kepada Imam Ibn Mubarak, Malik dan Ibn Syihab az-zuhri. Meninggal pada 157 Hijrah.

Wednesday, June 12, 2013

Ahli sunnah, akhlak mereka juga benar-benar menurut sunnah

Firman Allah SWT,

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
“Jadilah engkau seorang yang pema'af dan suruhlah orang mengerjakan perkara yang ma'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” [Al-A’raaf:199]

Qadhi Zainuddin bin Makhluf al-Maliki terkenal sebagai seorang yang paling kuat permusuhan terhadap Imam Ibn Taimiyyah. Beliau pernah mengkafirkan Imam Ibn Taimiyyah dan memfatwakan harus membunuh sang Imam. Beliau juga antara orang yang bertanggungjawab membuat fitnah dan pelbagai tohmahan sehingga Imam Ibn Taimiyyah dipenjara sekian lama.

Namun takdir Allah, Qadhi Ibn Makhluf terlebih dahulu meninggal dunia.

Apabila telah sampai berita tentang kematian Ibn Makhluf maka Ibn Qayyim yang ketika itu merupakan murid kepada Imam Ibn Taimiyyah segera mendatangi gurunya bagi menyampaikan berita itu dengan gembira.

Namun sebaliknya yang berlaku.

Hal ini diceritakan sendiri oleh Imam Ibn Qayyim yang mengatakan bahawa apa yang berlaku ialah,

فنهرني وتنكر لي واسترجع. ثم قام من فوره إلى بيت أهله فعزاهم،

Beliau Imam Ibn Taimiyyah bahkan menegur dan memarahi perbuatan saya. Kemudian beliau beristirja' (membaca ان لله وان اليه راجعون) Setelah itu Imam Ibn Taimiyyah bangkit dari tempatnya lalu langsung menuju ke rumah keluarga Ibn Makhluf bagi mengucapkan takziah di atas kematian sang Qadhi tersebut.

Beliau kemudian melakukan sesuatu yang luar biasa dengan berkata,

إني لكم مكانه، ولا يكون لكم أمر تحتاجون فيه إلى مساعدة إلا وساعدتكم فيه

'Saya kini adalah sebagai penganti Ibn Makhluf kepada anda semua. Jika kalian memerlukan bantuan atau apa-apa pertolongan maka saya pasti akan membantu.'

[Madarij al-Salikin, Ibn Qayyim al-Jauziyah]

Wednesday, May 29, 2013

Keadilan Islam membawa rahmat dan hidayah

Semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib RA, beliau iaitu Ali pada suatu hari ternampak baju besi miliknya yang hilang telah berada pada seorang lelaki Kristian. Ali RA cuba meminta semula baju besinya tetapi ditolak oleh lelaki itu lalu Ali RA pun membawa kes tersebut ke mahkamah dan meminta hakim Syuraih memutuskan kes tersebut.

Ali RA berkata, ‘Baju besi ini ialah milikku dan aku tidak pernah menjualnya atau memberikan ia kepada sesiapa.’

Hakim Syuraih pun berkata kepada lelaki Kristian tersebut, ‘Apakah jawapan engkau terhadap dakwaan Amirul Mukminin tersebut?

Lelaki Kristian itu pula berkata, ‘Baju besi ini ialah milikku dan aku tidaklah berniat untuk menuduh Amirul Mukminin menipu.’

Hakim Syuraih kemudian berkata kepada Ali RA, ‘Apakah Amirul Mukminin mempunyai bukti tentang dakwaan tersebut?

Ali bin Abi Talib RA pun kemudian ketawa kerana tersedar akan kesilapannya yang tidak mempunyai bukti lalu berkata, ‘ Engkau benar wahai Syuraih, aku tidak mempunyai bukti.’

Lalu Hakim Syuraih pun memutuskan baju besi itu menjadi milik lelaki Kristian tadi.

Lelaki Kristian itu kemudian membawa baju besi itu dan pergi daripada tempat tersebut namun kemudian datang semula lalu berkata, ‘Pada pendapat aku ini ialah keputusan yang dibuat berdasarkan ajaran para Nabi dan Amirul Mukminin walaupun membawa kes ini kepada hakim lantikan beliau namun hakim itu tetap memutuskan kes menyalahi beliau.

Maka Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu ialah rasul Allah. Demi Allah, baju besi itu ialah milik engkau wahai Amirul Mukminin kerana aku mengutipnya ketika ia terjatuh dari barang-barang engkau sewaktu engkau dalam perjalanan ke peperangan Siffin.

Ali RA pun berkata , ‘ Kini engkau telah memeluk Islam maka baju besi itu adalah milikmu.’ Lalu beliau pun mendudukkan lelaki Kristian itu di atas kudanya.

Kata al-Sha’bi, yang menjadi perawi kisah ini beliau telah dimaklumkan bahawa lelaki Kristian itu setelah memeluk Islam telah ikut berperang dibawah pasukan Ali bin Abi Talib RA dan memerangi golongan Khawarij di Nahrawan .

[Rujukan : Kitab al-Bidayah wa Al-Nihayah, Imam Ibn Katsir]

1. Hakim Syuraih ialah Syuraih bin Al-Haris bin Qais rahimahullah merupakan salah seorang tabien yang faqih dan diangkat menjadi qadhi atau hakim oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA.

2. Perawi kisah ini ialah al-Sha'bi atau namanya A'mir bin Syarahil ialah salah seorang tabien yang lahir pada zaman Umar al-Khattab RA.

3. Khalifah Ali bin Abi Talib RA sekalipun merupakan menantu nabi, sahabat dan Khalifah namun beliau tidak menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan baju besinya tetapi menggunakan saluran undang-undang yang memutuskan hukum berdasarkan syariah Islam.

4. Lelaki Kristian itu walaupun seorang yang kafir dan bukan Islam namun haknya tetap dipelihara oleh Islam dan tidak ditindas atau diletupkan dengan C4 sehingga berkecai oleh dua orang polis yang tiada motif membunuh.

Saturday, May 18, 2013

Fekah menjawab soalan agama dan masalah kehidupan

1. Soalan agama

Menjawab soalan agama atau meminta fatwa tidaklah semudah yang disangkakan. Namun kerana kurangnya 'taqwa' dan 'ilmu' maka ramai anak-anak muda beranggapan ianya adalah perkara yang mudah, senang dan hanya perlu 'search', 'copy' dan 'paste'.

Apabila seseorang bertanyakan masalah agama, maka sebelum menjawab soalan tersebut ada beberapa peraturan emas yang perlu diingat,

1. Bukan semua soalan perlu dijawab
2. Bukan semua soalan perlu dijawab serta-merta, mungkin ia perlu dikaji
3. Adakah kita orang yang sesuai untuk menjawabnya?

Kata Abdullah bin Mas'ud RA,
إن الذي يفتي الناس في كل ما يستفتونه لمجنون
'Sesungguhnya orang yang berfatwa kepada manusia pada setiap soalan yang ditanyakan kepadanya ialah orang gila.' [Ibtal al-Hiyal oleh Ibn Battah]

Sesebuah pertanyaan fiqh misalnya, memerlukan jawapan tentang 3 perkara iaitu apakah hukumnya, apakah dalilnya dan apakah caranya.

Jika berbicara soal hukum maka hukum fiqh itu berbeza pada setiap fuqaha dan mazhab, apabila membawakan dalil pula tidak semua dalil itu difahami sama-rata atau cara kefahaman itu disepakati oleh semua ulama dan fuqaha. Kemudian apabila menerangkan cara-caranya maka ia berbeza mengikut keadaan dan zaman.

Kebiasaan anak2 muda dalam menjawab soalan agama ialah dengan memetik hukum yang terdapat dalam website, buku2 fatwa pendapat tokoh tertentu lalu dikepilkan fatwa tersebut bersama dalil. Kelihatan pada zahirnya sangat 'cantik' dan indah tetapi hakikatnya 'punah'.

a. Dalil tersebut mungkin tidak selari dengan fatwa yang dikemukakan walau si pemberi fatwa menggunakan dalil al-Quran dan hadith. Boleh jadi hubungan antara nass (Quran & hadith) dengan soalan/isu yang terjadi adalah berbeza, illat yang tidak sama dan qiyas yang berlaku ialah qiyas ma'a al-Fariq dll.

Penjawab soalan tidak tahu kaedah beramal dengan nass-nass...

b. Ada pula fatwa yang diambil dari kitab2 muktabar, lengkap dengan dalil, pendapat mazhab dan memberikan pilihan serta pelbagai pendapat, hujah dan lengkah dengan tarjih pada sesuatu masalah. Kesimpulan penjawab ialah pendapat B adalah paling tepat dan sahih...bla2..

Disini ada satu isu yang mungkin berlaku iaitu pelanggaran 'maqasid syarak' dan si penjawab soalan mungkin mampu memberikan hukum yang rojih tetapi gagal mencapai kehendak syarak kerana kurangnya pemahaman terhadap 'situasi semasa, keperluan umat dan tidak mempunyai pengalaman dan hikmah.'

Firman Allah SWT,
وَدَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ
فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا
Ayat di atas menceritakan tentang masing2 antara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang memberikan keputusan tentang kambing yang merosakkan tanaman dan ternyata keputusan Sulaiman lebih tepat. [Lihat lanjut Al-Anbiya:78-79]

2. Masalah kehidupan

Perihal soal jawab dan masalah kehidupan seperti putus cinta, masalah rumahtangga, anak-anak, kes perceraian, pergaduhan suami-isteri, adik-beradik adalah lebih merumitkan dari persoalan agama.

Ini kerana disamping merujuk kepada nass-nass agama maka yang memberi pandangan dan pendapat harus menetapkan beberapa perkara sebagai panduan,

a. Mengenal pasti 'keparahan' dan situasi yang berlaku
b. Tahu akan punca dan sebab-sebab masalah berlaku
c. Ubat dan rawatan atau nasihat yang dapat meredakan masalah atau musibah dan fitnah yang menimpa.

Ramai gemar memberi nasihat sedang apa yang diucapkan tak lebih dari bisa-bisa yang hanya menyakitkan bagi orang yang mendengarnya kerana dia tidaklah merasainya, tidak pula memahaminya dan kemudian bercakap sesuka hati seolah-olah dia mengerti segala-galanya.

Kata Ali bin Abi Talib RA,
إن الفقيه حق الفقيه من لم يقنط الناس من رحمة الله ولم يرخص لهم في معاصي الله
'Sesungguhnya orang yang benar2 faqih ialah orang yang tidak membuatkan manusia menjadi putus asa dengan rahmat Allah tetapi dia pula tidak membuatkan mereka berani melanggar arahan Allah.' [Sunan Ad-Darimi]

Semoga Allah memberikan pertunjuk dan hidayah kepada kita semua !

Tuesday, May 14, 2013

Jangan terlalu suka sangat dengar dan percaya cakap orang tanpa ilmu

Hidup ini hanya sekali, jadikan ia di atas petunjuk Nabi

Kata Umar al-Khattab RA,
إياكم والرأي ; فإن أصحاب الرأي أعداء السنن ، أعيتهم الأحاديث أن يعوها وتفلتت منهم أن يحفظوها ، فقالوا في الدين برأيهم
'Hendaklah kamu menjauhi pendapat manusia, kerana sesungguhnya orang yang mengikuti pendapat manusia ialah musuh kepada sunan (iaitu hadith-hadith Rasulullah salallahualaihiwassalam). Mereka gagal menguasai hadith dan tidak mampu untuk menghafalnya lalu mereka pun berkata dalam agama dengan pendapat mereka. [Syarh Usul Iktiqad Ahl Al-Sunnah, al-La'lika'i]

Pengertian menggunakan akal dalam agama ini ialah kita memandai-mandai menetapkan sesuatu perkara dalam agama tanpa merujuk kepada al-Quran dan hadith atau menafsirkannya sesuka hati mengikut akal kita.

Berkata Ibn Mas'ud RA,
علماؤكم يذهبون ، ويتخذ الناس رءوسا جهالا يقيسون الأمور برأيهم
'Ulama kamu telah pergi (yakni Nabi dan para sahabat) dan manusia pun mengikuti kepala-kepala (tokoh) yang jahil yang melakukan qiyas terhadap perkara-perkara tertentu dengan akal mereka.'

Kata Imam Malik RA, Ilmu itu ada tiga iaitu kitab Allah, sunnah dan mengatakan tidak tahu.
Kenapa manusia menjadi rosak ?

Abdullah bin Zayd Al-Numairi meriwayatkan bahawa Imam Hasan al-Basri menyebut, 'Mereka (ahli bid'ah) dirosakkan kerana kegagalan mereka menguasai bahasa arab.' [al-Tarikh al-kabir, al-Bukhari]

Kata Imam as-Syafi'ie pula,
ما جهل الناس واختلفوا إلا لتركهم لسان العرب
'Tidaklah manusia menjadi jahil dan berselisih disebabkan mereka meninggalkan bahasa arab.'

Apabila tak boleh bahasa arab, kemudian dok baca buku terjemah Indon + copy paste website2 Indon dan taklid buta pada ustaz2 mereka maka jadilah fitnah !

Sunnah tidur tengahari yang dilupakan

Termasuk sunnah yang amat digalakkan ialah tidur sebentar diwaktu tengahari.

Daripada Anas RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda,
قيلوا فإن الشياطين لا تقيل
'Tidurlah qailulah (tidur sebentar diwaktu tengahari) kerana syaitan tidak melakukan qailulah. [riwayat al-Tabarani]

Tidur tengahari boleh dilakukan sama ada sebelum zohor atau selepas zohor berdasarkan kesempatan dan kelapangan seseorang.

Terdapat riwayat dari Anas bin Malik RA yang memberitahu bahawa kebiasaan para sahabat rasulullah melakukan qailulah selepas solat Jumaat dengan katanya,
كَانُوا يُجَمِّعُوْنَ ثُمَّ يَقِيْلُوْن 'Mereka (para sahabat) melakukan solat Jumaat lalu berqailulah (tidur atau rehat sebentar di waktu tengahari).' [riwayat al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad]

Para salaf selalu menekankan kepentingan tidur tengahari, Amirul Mukminin Umar al-Khattab RA misalnya selalu berpesan kepada orang ramai supaya melakukan qailulah. [riwayat ini terdapat dalam Al-Adab Al-Mufrad oleh Imam al-Bukhari]

Semoga dengan mengikuti sunnah ini kita beroleh kebaikan didunia dan diakhirat !

Kesian dan fikirkan anak orang lain sama

Perihatin terhadap kelemahan dan kekurangan insan lain ialah sifat salafus soleh

Para salaf cukup sensitif dan 'luas pemikiran' mereka dalam soal kehidupan dan begitu cerdik dalam memahami sunnah Islam.

Diriwayatkan bahawa Amr bin Qays rahimahullah menyebutkan bahawa,

كانوا يكرهون أن يعطي الرجل صبيه الشيء فيخلرج به فيراه المسكين فيبكي على أهله ويراه اليتيم فيبكي على أهله
'Para salaf tidak menyukai perbuatan seorang lelaki yang memberikan anaknya dengan sesuatu (mainan atau barang) yang akan menyebabkan anak itu keluar menunjukkannya lalu dilihat oleh anak-anak orang susah yang akan menangis dan meminta barang yang sama dari keluarganya atau oleh anak yatim yang akan menangis dan meminta barang yang sama dari keluarganya. [Kitab al-Zuhd oleh Imam Ahmad]

Amr bin Qays al-Mala'i meninggal pada tahun 146 Hijrah.